Defisit lebih banyak dipersoalLaporan HJ AZLAN AHMAD
ALOR SETAR: Ketua Pembangkang, Ustaz Dato' Hj Fadzil Mohd Noor, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit mempersoalkan perbezaan jumlah defisit yang lebih banyak dikemukakan oleh Menteri Besar, Syed Razak Syed Zain, berbanding dengan Belanjawan 2000 yang dibentangkan oleh Sanusi Junid sebelum pembubaran Dewan. Belanjawan yang dibentangkan Syed Razak pada hari pertama Sidang Dun Kedah adalah belanjawan defisit sebanyak RM25.65 juta dalam anggaran perbelanjaan berdasarkan jumlah anggaran pendapatan yang akan diperolehi. Sedangkan belanjawan yang dibentangkan Sanusi Junid sebelum pilihan raya lalu mencatat defisit kira-kira RM23 juta. Dato' Haji Fadzil mempertikaikan mengenai petunjuk pemulihan ekonomi yang disebutkan dalam ucapan belanjawan Menteri Besar yang mensabitkan kenaikan kadar jualan kenderaan bermotor, "sedangkan jumlah kereta kena tarik oleh syarikat kewangan terlalu banyak tidak diambil kira." "Barangkali Menteri Besar pun pernah mengalami peristiwa keretanya kena tarik oleh pihak bank," tambahnya. Menurutnya, ini menunjukkan keadaan ekonomi belum sebenarnya pulih lagi, meskipun ada tanda-tanda yang menunjukkan ke arah itu. Dato' Fadzil turut meminta kerajaan negeri menjelaskan apakah bentuk pelaburan yang dibuat oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Yayasan Islam dan agensi kerajaan lain khususnya pelaburan dalam pasaran saham. Ini, katanya, supaya rakyat dapat melihat sikap ketelusan kerajaan ke atas pengurusan wang negeri bagi kepentingan negeri dan rakyat keseluruhannya. Langkah ini juga, katanya, supaya ia tidak disalahtadbir atau disalahgunakan. Ini berikutan pelaburan PKNK yang mengalami kerugian berjuta-juta ringgit dalam pembelian saham syarikat kroni, Ekran Berhad, yang dulunya dibayar sebanyak RM11.20 bagi setiap satu. "Tetapi sekarang nilai saham itu telah menjadi RM1.60, yang membuatkan PKNK telah kerugian hampir RM10.00 bagi setiap satu saham Ekran yang dimilikinya," kata Dato' Haji Fadzil. Mengenai pembangunan dan alam sekitar, beliau berkata, dalam keghairahan pembangunan, kerajaan negeri tidak sepatutnya mencemarkan alam sekitar seperti meneruskan rancangan projek mega untuk menambak laut dan membina beberapa pulau buatan yang dijangka menelan belanja RM30 bilion. Katanya, walaupun projek kerajaan negeri ini akan dikendalikan oleh pihak swasta, tetapi kesan ke atas alam sekitar lebih memburukkan terutama ia akan menjejaskan kehidupan tumbuh-tumbuhan dan sumber rezeki penduduk di persisiran pantai. "Maka saya mencadangkan agar projek ini dibatalkan dan segala projek mega lain dikaji semula kerana sudah terbukti beberapa projek seperti ini merugikan," katanya.
|